MAC 2025

Perutusan Hari Raya Aidilfitri 2025


PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI 2025

YANG AMAT BERHORMAT

DATUK PATINGGI TAN SRI (DR) ABANG HAJI

ABDUL RAHMAN ZOHARI

BIN TUN DATUK ABANG HAJI OPENG

PREMIER SARAWAK

MUKADIMAH

1. Bismillahirahmanirahim, Assalamu’aalaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Aidilfitri, Salam sejahtera, Salam Sarawak Maju Makmur.

2. Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd.

3. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhana Wa’Taala kerana dengan rahmat dan limpah kurniaNya kita dapat lagi bertemu lagi pada Aidilfitri kali ini setelah berpuasa selama sebulan di bulan Ramadhan. Semoga puasa kita pada tahun ini diterima dan mendapat rahmat daripada Allah SWT.

4. Perginya Ramadhan dan munculnya Syawal adalah tanda kemenangan kepada umat Islam kerana Allah SWT telah menegaskan sebagaimana firmanNya yang bermaksud, “Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan puasa pada bulan Ramadhan dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah apabila berhari raya kerana Allah berikan hidayah kepada kamu.” (Surah Al Baqarah: 185).

5. Di kesempatan ini saya dan juga bagi pihak isteri, Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma’ani serta keluarga ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di Sarawak dan juga di seluruh negara. Semoga kemenangan kita melawan nafsu pada bulan Ramadhan mengajar kita untuk menjadi umat Islam yang sentiasa mengagungkan kemuliaan dan kebesaran Allah SWT dan bersyukur kepada limpah dan kurnianya kepada kita.

Saudara dan saudari yang saya hormati,

6. Kita berasa bersyukur kerana pada tiap-tiap tahun kita dapat meraikan hari yang mulia ini dalam suasana yang aman, damai dan penuh dengan keceriaan. Namun, janganlah kita menganggap suasana sebegini boleh datang dengan sendirinya tanpa ada usaha bersama semua rakyat Sarawak untuk mengwujudkan keharmonian, toleransi dan sifat hormat-menghormati antara rakyat yang berbilang agama dan bangsa di Bumi Kenyalang ini. Sejak dari dahulu lagi rakyat Sarawak yang berbilang keturunan dan agama sudah mengenali erti saling hormat-menghormati antara satu sama lain dan sentiasa mengelak daripada menyentuh perkara-perkara yang boleh mengganggu-gugat perpaduan yang sudah sedia terjalin.

7. Saya amat berharap kita sentiasa berusaha untuk mengwujudkan kesefahaman antara sesama umat Islam dan juga antara umat Islam dengan masyarakat lain di Sarawak dan mengelak daripada terjebak dalam perbalahan mengenai agama dan bangsa dan isu-isu yang remeh temeh seperti yang sering kali berlaku di tempat lain. Jikapun terjadi perselihian pendapat dan pandangan mengenai isu-isu tertentu, kita harus segera menyelesaikannya dengan cara yang tidak akan memudaratkan perpaduan rakyat yang sudah sekian lama kita bina bersama.

MENGIMBAU KEMBALI PRESTASI TAHUN SUDAH

Saudara dan saudari yang dirahmati Allah,

8. Sempena Hari Raya Aidilfitri yang penuh barakah ini, saya ingin membawa Saudara dan Saudari untuk merenung kembali usaha-usaha pada tahun yang sudah untuk mentransformasikan Sarawak kepada sebuah ekonomi yang mantap dan mampan.

9. Sarawak telah mencapai kejayaan yang membanggakan pada tahun lepas di mana pertumbuhan ekonomi negeri ini dijangka berada pada kadar lima hingga ke enam peratus yang mencerminkan pertumbuhan yang memberangsangkan. Saya yakin dan percaya bahawa Sarawak mampu memperlihatkan pertumbuhan yang baik kerana Kerajaan GPS telah merancang perjalanan ekonomi negeri ini dengan teliti melalui Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 atau PCDS 2030 yang berteraskan tiga tonggak, iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

10. Saya juga amat yakin visi kita untuk menjadikan Sarawak sebuah kuasa ekonomi di negara ini, bahkan di rantau Asian berada pada landasan yang betul dengan pelaburan yang besar dalam aspek infrastruktur, ekonomi digital, innovasi teknologi, ekonomi hijau, pembangunan bakat dan pendidikan, pemerolehan aset besar dan pembangunan aset-aset strategik. Pelaburan-pelaburan ini akan memacu ekonomi Sarawak untuk mencapai status wilayah maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030, Insyallah.

11. Kesemua inisiatif untuk memperkasakan ekonomi sedang giat dijalankan termasuk pembinaan jalan raya dan jambatan yang begitu penting untuk memacu pertumbuhan ekonomi. Jambatan pertama yang telah disiapkan ialah Jambatan Marudi yang memudahkan perjalanan dari Miri ke Marudi yang dibina dengan kos RM117 juta.

12. Jambatan kedua yang telah siap dengan kos RM600 juta ialah Jambatan Batang Lasa sepanjang 2.43 kilometer yang menghubungkan Pulau Bruit dengan Daro. Ini disusili oleh pembukaan Jambatan Bintulu-Jepak dan Jambatan Pasi di Sarikei untuk memudahkan perjalanan mereka yang balik ke kampung sempena Hari Raya.

13. Daripada 16 jambatan yang sedang dibina, sembilan jambatan dijangka siap pada tahun ini yang pasti akan mempertingkatkan taraf sistem keterhubungan di negeri ini. Jambatan-jambatan ini dibina serentak dengan kos keseluruhan mencecah RM5.90 bilion yang dibiayai oleh Kerajaan Sarawak sendiri. Inilah komitmen Kerajaan GPS untuk menaiktaraf sistem pengangkutan jalanraya di Sarawak untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan memberi manfaat kepada rakyat.  

ASET-ASET STRATEGIK

Saudara dan saudari yang saya hormati,

14. Sarawak telah berjaya menguasai atau mengambil alih aset-aset besar dan strategik seperti Hidro Bakun, Pelabuhan Bintulu, Affin Bank dan MASWings. Kerajaan GPS juga akan membangunkan dua asset strategik, iaitu Pelabuhan Laut Dalam dan Lapangan Antarabangsa baharu di Tanjung Embang, Kuching dengan pelaburan RM100 bilion. Model perniagaan MASWings atau AirBorneo tidak hanya berteraskan keuntungan tetapi sebagai satu pembangunan infrastruktur disebabkan Sarawak yang terletak di sebuah Pulau dan amat memerlukan keterhubungan udara dengan kawasan-kawasan lain di rantau ini.

15. Saya yakin pembangunan kesemua aset ini akan mendatangkan impak yang besar kepada usaha untuk mengwujudkan “ecosystem” yang amat menarik kepada pelaburan dari dalam dan luar negara.

16. Perancangan jangka panjang ekonomi Sarawak tidak akan terhenti pada tahun 2030 tetapi akan terus melangkaui 2035 dan seterusnya ke 2050. Saya amat yakin dengan kematangan semua aset besar yang ada sekarang Sarawak akan muncul sebagai kuasa ekonomi di rantau Asia yang akan dikecapi oleh generasi akan datang, Insyallah.

PRA-TAHUN PENDIDIKAN PERCUMA

Saudara dan saudari yang saya hormati,

17. Tahun ini penting sebagai pra-tahun Kerajaan GPS membuat persediaan untuk menyediakan pendidikan percuma kepada anak-anak Sarawak yang menuntut di universiti-universiti milik Sarawak sendiri pada 2026.

18. Langkah ini akan memberi peluang kepada semua anak Sarawak, tidak kira latarbelakang agama atau bangsa atau kedudukan untuk menuntut ilmu sehingga ke peringkat universiti dalam bidang-bidang terpilih. Tanpa inisiatif seperti ini, anak-anak Sarawak daripada keluarga yang kurang kemampuan,  khususnya dari kawasan luar bandar tidak akan berpeluang untuk menimba ilmu sehingga ke peringkat universiti.

19. Pelajar-pelajar dari kawasan luar bandar juga sama-sama mempunyai potensi untuk berjaya seperti mereka yang berada di bandar. Pendidikan adalah senjata yang ampuh untuk memerangi kemiskinan, dan saya percaya dengan langkah ini, jurang ekonomi antara luar bandar dan bandar dapat dikurangkan secara beransur-ansur.

PEMBAHAGIAN KEKAYAAN YANG SAKSAMA

Saudari dan saudari yang saya hormati,

20. Sarawak telah banyak menyumbang kepada usaha untuk mengukuhkan ekonomi negara, khususnya melalui hasil minyak dan gas dengan sumbangan sebanyak 10 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).  

21. Mulai 2019, dengan mengenakan 5 peratus Cukai Jualan atau SST terhadap produk petroleum, Sarawak dapat menikmati lebih banyak lagi daripada hasil sumber minyak dan gasnya daripada sekadar menerima 5 peratus royalti. Di samping itu, Perjanjian Secara Komersil antara Petronas dan Petros telah memberi ruang untuk Sarawak berkongsi keuntungan 50-50 dengan Petronas melalui Petronas Carigali.

22. Baru-baru ini Sarawak telah diiktiraf sebagai Aggregator Gas Tunggal di Sarawak seperti kuasa yang diperuntukan di bawah DGO 2016 dengan persetujuan YAB Perdana Menteri. Walaupun perkara ini rumit untuk dipersetujui secara terperinci saya yakin Petronas dan Kerajaan Sarawak melalui Petros mampu menyelesaikannya dengan semangat menang-menang dan pembahagian kekayaan yang saksama antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.  

23. Melalui Pelan Hala Tuju Gas Sarawak atau Sarawak Gas Road Map, Kerajaan GPS berusaha untuk mempastikan sumber gas asli Sarawak digunakan sebaik mungkin untuk memangkin pertumbuhan ekonomi tempatan Sarawak. Di bawah Pelan Hala Tuju tersebut empat hub gas telah dikenalpasti, iaitu Bintulu, Samalaju, Miri dan Kuching di mana akan dipergiatkan aktiviti hiliran dan khidmat “bunkering” untuk industri perkapalan.

24. Aktiviti hiliran sudahpun bermula di Tg. Kidurong Bintulu dengan pembangunan loji methanol pertama kepunyaan Sarawak sendiri dengan kapasti pengeluaran sebanyak 1.8 juta tan metrik setahun. Loji yang kedua di Tg. Kidurong akan memproses gas asli kepada ammonia yang merupakan sumber gas hidrogen untuk dieksport ke luar negara, khususnya Jepun.

KESATUAN DALAM KEPELBAGAIAN

Saudara dan saudari yang saya hormati,

25. Kekuatan Sarawak terletak pada kepelbagaian masyarakatnya. Sarawak terkenal dengan keharmonian antara masyarakat pelbagai keturunan dan agamanya. Kerajaan GPS menjaga kepentingan Islam dan juga kepentingan agama-agama lain.

26. Perkembangan dan kemajuan dalam agama Islam diberi penekanan berdasarkan prinsip-prinsip maqasid syariah yang menjaga setiap kebaikan dan menolak semua keburukan. Banyak masjid yang cantik telah dibina di seluruh Sarawak untuk memberi keselesaan kepada umat Islam ketika beribadah. Tempat-tempat ibadah untuk agama-agama lain juga diberi perhatian melalui Unit untuk Agama-Agama Lain atau UNIFOR kerana semua agama berhak untuk mendapat tempat yang selesa untuk menunaikan kewajipan agama masing-masing.

PENUTUP

27. Sempena hari baik bulan baik ini saya berdoa agar keharmonian dan perpaduan rakyat Sarawak terus terpelihara kerana kesefahaman antara masyarakat majmuk di Bumi Kenyalang ini adalah tonggak kepada pembangunan pada era yang penuh dengan cabaran dan pembaharuan ini. Sepenuh tenaga dan usaha kita harus dijurus kepada membina Sarawak yang maju dengan pembangunan yang mampan.

28. Akhir kata, bagi pihak saya sendiri dan Puan Sri Datuk Amar Juma’ani sekali lagi saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di Sarawak dan juga di seluruh negara.

29. Saya dan Puan Sri akan mengadakan rumah terbuka pada Hari Raya pertama dan kedua di Pusat Konvensyen Borneo di Kuching mulai jam 10.00 pagi. Jemputlah datang untuk sama-sama meraikan hari yang mulia ini.

30. Sekian, wabilahi wataufik walhidayah assalam waalaikum warahmatullahi wabarakatuh.